Hidro Batang Ai Dam
Hidro Elektik Batang Ai Dam merupakan kawasan empangan yang terbesar di Negeri Sarawak setakat ini yang terletak di Daerah Lubok Antu dalam bahagian Sri Aman. Empangan ini bukan sekadar berfungsi membekalkan tenaga elektrik kepada penduduk di Sarawak tetapi juga memainkan peranan sebagai pusat pelancongan dan sumber bekalan air kepada penduduk khasnya di Daerah Lubok Antu. Malah dengan kewujudan Empangan ini, risiko kejadian banjir yang sering berlaku di Daerah Lubok Antu khasnya di daerah Kecil Engkilili dapat dikurangkan malah dapat diatasi.
 


Batang Ai yang disekat oleh Benteng Sebako

 Hidro Elektrik Batang Ai Dam telah dibina bermula sejak tahun 1982 dan telah siap sepenuhnya menjelang tahun1994. Keluasan hidro ini mencakupi kira-kira 21,000 ekar. Terdapat kira-kira 26 buah rumah panjang telah terlibat dalam pembinaan ini yang mana seramai kira-kira 418 keluarga telah dipindahkan dikawasan penempatan semula penduduk. Projek Pembinaan empangan Hidro Batang Ai ini telah menelan belanja sebanyak kira-kira RM600 juta  dan mampu menghasilkan kira-kira 108 mega wats elektrik. Sesungguhnya pembinaan empangan ini telah memberikan banyak menfaat kepada negeri Sarawak khasnya dalam era untuk menuju sebagai salah sebuah negeri yang termaju di Malaysia.
 


 Keindahan Permukaan Empangan Hidro Batang Ai dengan pulau-pulau menghijau


 Pemandangan Empangan Batang Ai daripada Hilton Batang Ai Longhouse Resort, Lubok Antu

Penduduk tempatan khasnya yang tinggal di daerah Lubok Antu dan yang terlibat dalam program penempatan semula penduduk turut menerima manfaat dari terbinanya empangan ini. Ini kerana di kawasan penempatan semula penduduk, pelbagai kemudahan asas telah disediakan oleh pihak kerajaan seperti bekalan elektrik dan air, talian telefon, tempat kediaman, sekolah dan klinik. Di samping itu pihak kerajaan juga telah membayar pampasan bagi tanah-tanah milik keluarga yang terlibat dalam pembinaan empangan ini. Bagi penduduk yang tinggal berhampiran dengan empangan pula, mereka memanfaatkan empangan ini dengan melibatkan diri dalam kegiatan ternakan ikan dalam sangkar. Ikan-ikan yang giat diternak adalah seperti ikan Tilapia Merah, Jelawat, Tengkadak, Patin dan sebagainya. Jabatan Pertanian khasnya bahagian ternakan Ikan Darat telah memainkan peranan sebagai agen yang memberikan pelbagai kemudahan penduduk setempat untuk memajukan kegiatan ternakan ikan dalam sangkar. Dengan ini taraf ekonomi penduduk secara tidak langsung dapat ditingkatkan.


 
   
Ternakan Ikan dalam sangkar (Di dalam Empangan dan di Peladang, Lubok Antu)

Keindahan pemandangan di Empangan Hidro Batang Ai tidak dapat tergambar dengan kata-kata. Kebiruan dan kejernihan air serta kehijauan pokok-pokok dan bukit-bukit disekitar empangan amat mempersonakan. Kerana kurniaan ini maka kegiatan industri pelancongan kini berkembang maju di sini. Untuk itu pengunjung-pengunjung boleh bersiar-siar dengan menyewa bot dari pengusaha-pengusaha bot sewa atau memenuhi impian anda dengan memancing. Terdapat banyak jenis ikan yang menjadi kegemaran para pemancing antaranya ialah ikan Kaloi, Tilapia, Tengkadak,Belida,Patin,Semah dan pelbagai lagi. Bagi mereka yang meminati gaya hidup masyarakat Iban, anda boleh merasainya secara 'Natural' dengan bermalam dirumah-rumah penginapan yang disediakan oleh penduduk di Rumah Panjang. Rumah-rumah pnjang yang aktif mengendalikan aktiviti ini adalah seperti Rh.Ngumbang,Delok dan Rh.Ugat,Spaya.


 Benteng Lima

Keindahan  fenomena di empangan hidro elektrik ini juga telah menyebabkan sebuah Hotel bertaraf lima bintang telah mendirikan sebuah resort  yang lebih dikenali sebagai Hilton Long House Resort. Resort ini bukan sahaja menjadi kunjungan warga tempatan malah juga warga asing yang tidak-tidak putus untuk berkunjung ke Resort ini. Ini kerana pelbagai pakej disediakan seperti lawatan kerumah Panjang berhampiran, 'jungle tracking', melawat air terjun, berkayak,bersiar-siar di empangan, memancaing dan sebagainya. Oleh itu berkunjunglah ke empangan Hidro Batang Ai .

                  Pintu masuk ke Hilton Batang Ai Long House Resort
 
                                                                              Kolam Renang di Hilton Batang Ai Long House Resort
 
 
 
Kembali Ke Halaman Utama